Memaparkan catatan dengan label Pengisian baru. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pengisian baru. Papar semua catatan

Ahad, 3 April 2016

Kelas Iqra' dan Fardhu Ain bermula

Alhamdulillah, akhirnya Kelas Iqra' dan Fardhu Ain untuk kanak-kanak di Masjid Al-Islah, Limbongan telah bermula.

Kelas ini dikendalikan oleh dua orang guru.

Kehadiran kanak-kanak untuk solat Maghrib dan Isyak diraikan dengan menyusun pengisian yang bermanfaat pada sela masa tersebut.

Semoga usaha ini diberkati oleh Allah.

Klik di sini untuk ke catatan facebook Masjid Al-Islah, Limbongan.

Khamis, 23 April 2015

Bacaan Ma'thurat Sughra bermula pagi nanti

Bermula selepas solat fardhu Subuh nanti, bacaan Ma'thurat Sughra (Ma'thurat Kecil @ Ringkas) akan dibaca beramai-ramai setiap pagi Jumaat.

Bacaan tersebut akan diketuai oleh imam yang bertugas.

Ini menjadikan pengisian waktu seawal selepas Subuh dimanfaatkan sebaik mungkin setiap pagi.

Setiap pagi Sabtu, waktu diisi dengan kuliah Subuh mingguan oleh Ustaz Mohib Khouli Nazem manakala pada hari-hari selain hari Jumaat dan Sabtu, bacaan hadis daripada kitab Riyadhus Solihin dan bacaan ayat suci Al-Quran dan terjemahan akan dibuat secara bergilir-gilir.

Semoga penganjuran aktiviti-aktiviti harian ini mampu memberi manfaat kepada semua.

Klik di sini untuk ke catatan facebook Masjid Al-Islah, Limbongan.

Isnin, 20 April 2015

Pengisian terbaru bermula pagi esok

Dalam mesyuarat bulanan pada 15 April yang lalu, satu usul telah dipersetujui oleh jawatankuasa Masjid Al-Islah, Limbongan.

Mesyuarat memutuskan agar pengisian harian selepas solat fardhu Subuh ditambahnilai dengan satu slot bacaan Al-Quran dan terjemahan.

Sekarang, pengisian sedia ada ialah bacaan satu hadis Rasulullah daripada kitab Riyadhus Solihin oleh imam bertugas setiap kali selepas solat fardhu Subuh.

Bermula pagi esok, selesai sahaja doa selepas solat fardhu Subuh, para jemaah disarankan agar sama-sama mengambil Al-Quran terjemahan yang tersusun di atas rak di ruang hadapan.

Imam bertugas akan membaca ayat demi ayat, diikuti oleh para jemaah. Selesai bacaan ayat-ayat Al-Quran, imam bertugas akan membacakan terjemahan ayat-ayat tersebut daripada Terjemahan Al-Hidayah sambil diperhatikan maksudnya oleh para jemaah.

Pengisian ini akan digilirkan dengan pengisian sedia ada iaitu bacaan hadis Rasulullah.

Terima kasih diucapkan kepada jemaah Masjid Al-Islah yang telah melontarkan idea yang bernas ini.

Semoga pengisian yang ringkas ini mampu meningkatkan kefahaman Al-Quran dan hadis dalam diri kita.

Klik di sini untuk ke catatan facebook Masjid Al-Islah, Limbongan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...