Memaparkan catatan dengan label Berita Luar. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Berita Luar. Papar semua catatan

Rabu, 25 Mei 2016

Percubaan gagal!

Jerteh (22 Mei 2016) : Mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan mesin deposit tunai (CDM) cuba dilarikan penjenayah daripada bank di Kuala Besut, di sini, awal pagi tadi.

Bagaimanapun, cubaan penjenayah terbabit gagal selepas mesin ATM berkenaan ditemui ditinggalkan di atas jalan raya di hadapan bank berkenaan manakala mesin CDM turut ditemui berubah kedudukannya.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, polis mendapat maklumat awal daripada syarikat keselamatan yang memaklumkan penggera mesin di bank berkenaan berbunyi pada 5.35 pagi.

Beliau berkata, polis yang menerima maklumat bergegas ke lokasi kejadian. dan pemeriksaan mendapati pintu bank dipecah dengan kedudukan mesin CDM berubah dari kedudukan asal sementara mesin ATM pula berada di atas jalan.

"Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup, seorang lelaki keluar dari kenderaan berkenaan dan bertindak mengumpil pintu bank menggunakan kuku kambing dan cangkul kecil sebelum mengikat mesin ATM menggunakan tali.

"Suspek kemudian menarik mesin ATM dan cuba memecahkan tetapi gagal sebelum melarikan diri.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu yang bertanggungjawab di sebalik kejadian berkenaan," katanya.

Sumber : Harian Metro

Klik di sini untuk ke catatan facebook Masjid Al-Islah, Limbongan.

Khamis, 5 Mei 2016

Pencetus Ummah Zaid meninggal dunia

5 Mei 2016 - PEMENANG tempat ketiga program Pencetus Ummah (PU) 2015, Abdul Zaid Abdul atau PU Zaid, 31, meninggal dunia setelah mengalami sesak nafas, pagi tadi, lapor sebuah portal berita tempatan.

Bapanya, Abdul Sabadin, 72, berkata sekitar jam 8.30 pagi tadi, PU Zaid sempat bersarapan di rumah di Kampung Pukat, Tanjung Batu, Tawau bersama ahli keluarga lain.

"Selepas sarapan, dia ke tandas dan sebaik keluar dia kelihatan lemah dan nafasnya tercungap-cungap.

"Kami kemudian mengejarkannya ke Hospital Tawau namun sebaik tiba, doktor mengesahkan dia sudah meninggal dunia," katanya.

Difahamkan, Allahyarham pernah menghidap jangkitan kuman pada paru-paru sebelum ini.

Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Pasir Putih, di sini, petang ini.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Fatimah Zahrah Abdul Syukur, 29, dan seorang cahaya mata perempuan, Dhia Zahrah, berusia setahun setengah.

Sumber : Sinar Harian

Klik di sini untuk ke catatan facebook Masjid Al-Islah, Limbongan.

Selasa, 3 Mei 2016

Penuntut kolej swasta maut

BESUT (30 April 2016) - Seorang penuntut sebuah kolej swasta di Kota Bharu, Kelantan maut sementara tunangnya parah selepas kereta dinaiki mereka tertembung dengan sebuah lori di Kampung Batang Gergaji dekat Jabi di sini pagi semalam.

Dalam kejadian kira- kira jam 7 pagi itu, mangsa Yusaini Ashfaq Yusof, 25, dari Kampung Bakong, Pasir Mas, Kelantan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, penumpang kereta Proton Satria itu yang juga pelajar kolej sama, Wan Farah Farhana Wan Ariffin, 20, dari Lorong Pak Nik Mat, Pasir Mas, Kelantan mengalami kecederaan parah di kepala.

Menurutnya, manakala pemandu lori jenis Isuzu yang membawa muatan ayam itu tidak mengalami kecederaan sementara kelindan mengalami luka-luka kecil.

“Maklumat awal daripada pemandu lori memberitahu kejadian berlaku apabila sampai di tempat kejadian, dia yang dari arah Kota Bharu ke Kuala Terengganu melihat kereta Proton Satria dipandu mangsa dari arah Kuala Terengganu menghala ke arah Kota Bharu hilang kawalan lalu memasuki laluannya (bertentangan).

“Pemandu lori itu telah mengelak ke sebelah kiri bahu jalan tetapi kereta Satria itu masih lagi berada di laluan lori lalu kereta itu melanggar lori tersebut di bahagian depan,” katanya.

Mohd Zamri berkata, pemandu yang tersepit dalam kenderaan berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba dan penyelamat dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, semua mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Besut sementara mayat Yusaini Ashfaq dihantar untuk bedah siasat di hospital yang sama.

Mohd Zamri berkata lagi, hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

“Polis tidak menolak kemungkinan kemalangan berlaku berpunca kerana pemandu Satria itu dalam keadaan mengantuk kerana dikatakan dia bersama tunangnya bertolak pada jam 2 pagi semalam dari Kuantan, Pahang dan dalam perjalanan ke Kota Bharu,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut akan dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, kes disiasat oleh Inspektor Muhammad Wafi Azrul Suati.

Sumber : Sinar Harian

Klik di sini untuk ke catatan facebook Masjid Al-Islah, Limbongan.

Khamis, 21 April 2016

Pendaki nyaris maut

BESUT (20 April 2016) - Gara -gara berselfie seorang pendaki nyaris maut apabila dia terjatuh dari bukit pada ketinggian 30 meter ketika mendaki Bukit Keluang di sini tengahari hari tadi.

Dalam kejadian 12.45 tengahari itu, mangsa Safiuddin Naif Johari, 24, dari Kota Bharu, Kelantan mengalami patah pergelangan kaki dan cedera di beberapa bahagian badan.

Komander operasi mencari dan menyelamat, Mustafa Ismail berkata pihaknya menerima panggilan tentang kejadian itu kira-kira jam 1.05 petang dan seramai 16 anggota bomba dikejarkan ke tempat kejadian.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jertih itu lagi, kejadian dikatakan berlaku ketika mangsa bersama lima ahli keluarga termasuk tunangnya sedang melakukan aktiviti merentas hutan sambil menikmati keindahan berasa di tebing puncak Bukit Keluang yang menghadap Laut China Selatan itu.

"Masa tiba di kaki bukit itu kita jam 10 pagi dari Kota Bharu dan terus mendaki bukit tersebut.

"Ketika sampai di tempat kejadian, mangsa dikatakan ingin merakam gambarnya sendiri (selfie) menghadap laut berhampiran tebing di atas bukit itu," katanya.

Mustafa berkata lagi, bagaimanapun kaki mangsa tergelincir lalu jatuh ke lereng bukit curam itu namun tersangkut pada bahagian batu di situ.

Menurutnya, sebelum membuat panggilan kecemasan, tunang dan adik perempuan mangsa cuba turun ke bawah tebing itu untuk memberi bantuan dan menyelamat mangsa namun tidak berhasil malah mereka juga terperangkap di lereng itu.

"Dua orang yang cuba membantu itu iaitu kakak mangsa Nor Fatihah, 32, kepenatan sementara tunangnya Nor Nalini Mohamad, 20 mengalami calar- calar sahaja," katanya.

Beliau berkata lagi, anggota bomba dibantu kumpulan pendaki setempat berusaha membawa naik mangsa ke atas tebing menggunakan pengusung dan tali sebelum mangsa berjaya dibawa turun ke kaki bukit jam 5.45 petang.

Kata beliau, mangsa bernasib baik kerana tidak mengalami kecederaan di bahagian kepala atau pendarahan teruk sebaliknya a mengalami patah pada pergelangan kaki kiri selain luka.

Mangsa dan adik perempuannya yang kepenatan dikejarkan ke Hospital Besut untuk rawatan dengan dua buah ambilan yang telah sedia menunggu di situ sejak jam 1.15 petang.

Sumber : Sinar Harian

Klik di sini untuk ke catatan facebook Masjid Al-Islah, Limbongan.

Jumaat, 15 April 2016

Kristian masuk Islam

Seorang remaja Kristian berumur 19 tahun, Nina Grace berbangsa cina dari Kulai, Johor telah memeluk Islam di Program Grand Finale Dr Zakir Naik di Padang Astaka Kemaman tadi.

Beliau merupakan pelajar daripada Kolej Ranaco, offshore engineering Ranaco.

Sumber : Terengganu Times

Klik di sini untuk ke catatan facebook Masjid Al-Islah, Limbongan.

Khamis, 14 April 2016

Ceramah Dr Zakir Naik catat sejarah

KAMPUNG RAJA (14 April 2016) - Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Besut, di sini, mencatat sejarah apabila berjaya menghimpun lebih 30,000 hadirin di pekarangan sekolah itu pada malam kelmarin untuk menyaksikan ceramah daripada tokoh Maal Hijrah 2013, Dr Zakir Naik.

Orang ramai tanpa mengira fahaman politik termasuk juga dari kalangan bukan Islam dan dari Kelantan tiba seawal jam 6 petang di pekarangan sekolah itu semata-mata mahu mendengar dan menyaksikan sendiri ceramah disampaikan Dr Zakir.

Dr Zakir yang kini menjayakan siri jelajah di Terengganu mula menyampaikan ceramahnya bertajuk 'Does God Exist' atau 'Adakah Tuhan Wujud' pada jam 9.30 malam sebelum diteruskan dengan sesi soal jawab dan program berakhir pada kira-kira jam 12.30 pagi.

Fakta kukuh :

Menyentuh mengenai ceramah disampaikan, Dr Zakir banyak mengupas mengenai kewujudan Tuhan memberi contoh ayat-ayat suci al-Quran yang mempunyai fakta jelas dan kukuh.

"Dalam al-Quran yang diturunkan pada 1,400 tahun lalu, terdapat beribu fakta sains dan tiada satu pun daripadanya bercanggah dengan sains moden hari ini," katanya dalam ceramah yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.

Selain mengemukakan ayat suci al-Quran yang membicarakan mengenai kitaran air, teori Big Bang, perkembangan embrio dalam kandungan, beliau turut menegaskan hanya Yang Maha Mencipta boleh mengetahui mengenai ciptaannya secara terperinci, begitu juga al-Quran sebagai kalam ALLAH SWT yang mengandungi banyak fakta sains serta sudah dibuktikan dengan sains moden.

Hampir masuk Islam :

Suatu perkara menarik berlaku dalam sesi soal jawab pada majlis itu apabila seorang lelaki bukan Islam dikenali sebagai Carlos, 20-an tampil bertanyakan Dr Zakir mengenai kitab mana boleh dipercayai, sama ada injil perjanjian baharu, injil perjanjian lama atau al-Quran.

Dalam responsnya terhadap persoalan itu, Dr Zakir memberitahu lelaki berkenaan, beliau sepatutnya percaya kepada al-Quran yang dirujuk sebagai 'last testament' atau perjanjian terakhir kerana ia merupakan pesanan Nabi Isa sendiri seperti mana terdapat dalam kitab Injil, bab 16, 'The Gospel of John'.

Selepas mendengar kupasan, hujah serta penjelasan Dr Zakir, Carlos mengakui kitab al-Quran sebagai kitab yang benar sebelum Dr Zakir memberitahunya hanya dua ayat perlu disebut sekiranya lelaki itu mahu memeluk Islam tetapi menegaskan tiada sesiapa termasuk beliau sendiri berhak memaksanya berbuat demikian.

Bagaimanapun Carlos menyatakan belum bersedia mengucapkan syahadah walaupun percaya Nabi Muhammad S.A.W adalah utusan terakhir dan Dr Zakir mendoakan lelaki itu mendapat hidayah sambil meminta Carlos mengkaji secara lebih mendalam mengenai Islam.

Terbuka terima teguran :

Dalam pada itu, Dr Zakir memberitahu, beliau sedar terdapat segelintir pihak termasuk juga umat Islam tidak menyenangi dirinya dan memberitahu, beliau terbuka kepada teguran kerana percaya manusia bukan maksum.

"Saya cuma minta orang Islam yang menuduh saya telah berbuat sesuatu yang bertentangan dengan Islam datang bersemuka dengan saya dan kemukakan rujukan daripada al-Quran yang bercanggah dengan perbuatan saya dan jika ada, saya sanggup mengaku salah," katanya.

Sumber : Sinar Harian

Klik di sini untuk ke catatan facebook Masjid Al-Islah, Limbongan.

Selasa, 12 April 2016

Dr Zakir Naik kesal

KUALA TERENGGANU (12 April 2016) - Dr Zakir Naik yang ceramahnya di Melaka pada Ahad ini diarahkan batal oleh pihak berkuasa atas alasan keselamatan, melahirkan rasa kesal atas sikap sebilangan orang Islam yang begitu mudah melabel dan menuduh saudara seagama sebagai kafir.

"Saya sedih melihat keadaan seperti ini, sangat banyak berlaku dalam kalangan umat Islam. Ada orang Islam dengan mudah tuduh saudara seagama sebagai kafir hanya kerana berbeza pendapat atau tidak sehaluan," katanya.

Menurut pendakwah yang berasal dari India itu, masalah besar bagi umat Islam ialah mereka cenderung untuk memperbesarkan perbezaan walaupun hanya melibatkan isu-isu yang kecil atau remeh.

"Perbezaan apabila diperbesarkan, akan membawa kepada perbalahan. Akhirnya berlaku perpecahan dalam masyarakat, dan inilah yang melemahkan kita, umat Islam," katanya ketika menyampaikan syarahan bertajuk "The Importance of Unity Among The Muslim Ummah" di sini, kelmarin.

"Apa yang membuatkan saya berasa sedih dan risau adalah apabila melihat perpecahan dalam kalangan orang Islam semakin membimbangkan mutakhir ini," katanya.

Beliau berkata, perbalahan yang berlaku bukan sahaja melemahkan kekuatan Islam tetapi secara tidak langsung turut memberi gambaran negatif mengenai Islam kepada penganut agama lain.

"Melihat apa yang berlaku, mereka percaya, itulah Islam sedangkan sikap-sikap yang negatif seperti itu bukanlah daripada ajaran Islam yang sebenar," katanya.

Zakir berkata, perpaduan dalam kalangan umat Islam ketika ini bukan sahaja dilihat lemah, malah dalam keadaan berpecah belah dan mudah pula untuk tuduh menuduh antara satu sama lain, meskipun dalam perkara yang remeh-temeh.

Ceramah itu diadakan sempena Program Jelajah Terengganu di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak dan turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman serta pemimpin-pemimpin negeri lain.

Sebagai jalan penyelesaian kata beliau, umat Islam yang berpegang teguh kepada ajaran agama yang sebenar, tidak akan sesekali memperlakukan orang lain terutamanya saudara seagama dengan gelaran yang tidak baik, apatah lagi dengan melabel seseorang itu sebagai kafir.

“Umat Islam ketika ini dilihat lemah kerana bukan sahaja sering mengkritik sesama sendiri, namun sanggup menggelar saudara seagama dengan gelaran yang tidak sewajarnya. Mereka amat mudah melakukannya, sedangkan dalam Al-Quran telah menjelaskan bahawa kita dilarang menggelar saudara seagama yang lain sebagai kafir. Saya menyeru semua umat Islam untuk kembali bersatu padu dan bergerak di atas ajaran Islam yang sebenarnya,” katanya.

Lebih 30,000 orang menghadiri ceramah disampaikan tokoh perbandingan agama yang terkenal di seluruh dunia itu.

Selain program tersebut, Zakir menyampaikan syarahan bertajuk "Islam The Solution For Humanity" di Masjid Pusat Islam Sultan Mahmud, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) semalam dan hari ini di Sekolah Menengah Imtiaz Besut dengan ceramah bertajuk "Does God Exist?".

Syarahan terakhir beliau di negeri ini adalah di Padang Astaka, Kemaman dengan tajuk syarahan "Muslim Choice-Dakwah or Destruction" pada Khamis ini.

Sumber : Sinar Harian

Klik di sini untuk ke catatan facebook Masjid Al-Islah, Limbongan.

Khamis, 7 April 2016

Ular dijumpai di UniSZA!

Berita luar :

Seekor ular dijumpai di dalam bilik asrama pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) kampus Tembila, Besut hari ini.

Klik di sini untuk ke catatan facebook Masjid Al-Islah, Limbongan.

Optimis lahirkan bakal ulama

KAMPUNG RAJA (5 April 2016) - Terengganu bakal melahirkan 50 ilmuwan Islam dalam tempoh 12 tahun akan datang selepas pelajar yang sedang mengikuti pengajian perintis Al-Syahadah Al-Ulya Ulul Albab tamat dalam tempoh itu nanti.


Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, seramai 50 pelajar sulung yang sedang mengikuti program perintis pertama di negeri ini di Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Besut akan tamat sepenuhnya pengajian mereka selama 12 tahun termasuk memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

Menurutnya, melalui program tersebut pelajar yang terlibat akan menduduki Sijil Tinggi Pengajian Pengajian Agama Islam seterusnya melanjutkan ke peringkat tertinggi di universiti ditetapkan dalam bidang Sains dan Agama.

“Peringkat permulaan projek perintis ini dibuka sebanyak dua kelas dengan bilangan pelajar seramai 25 orang satu kelas dan mereka akan belajar dalam bidang sain.

“Dalam bidang agama mereka akan belajar dan mendalami Kitab Turah atau kitab-kitab lama dan keseluruhan program selama 12 tahun sehingga mereka tamat pengajian dalam peringkat PhD dengan pembiayaan kerajaan seterusnya ditawarkan berkhidmat di Terengganu.

“Kenapa kita lahirkan bakal ulama ini hari ini kerana penguasaan ilmu Islam amat terbatas sehingga memaksa kita merujuk kepada bulan Islam tetapi dengan adanya ulama rabbani yang menguasai bidang duniawi dan ukhrawi permasalahan umat Islam dapat diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Perasmian Program Al-Syahadah Al-Ulul Albab di SM Imtiaz Besut dekat Bukit Keluang di sini malam Sabtu lalu.

Majlis itu turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Sains, Teknologi dan Tugas-tugas Khas negeri, Ghazali Taib dan Pengarah Yayasan Terengganu, Mohamad Sulong serta wakil rakyat di daerah Besut.

Menurutnya, objektif utama program yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak pada tahun lalu itu adalah untuk melahirkan seramai mungkin ulama yang bukan sahaja menguasai bidang agama tetapi pakar dalam bidang Sains mahupun teknologi.

Dalam perkembangan lain Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri menawarkan potongan sebanyak 50 peratus kadar sewa hotel sepanjang program jelajah pendakwah ulung, Dr Zakir Abdul Karim Naik bermula 10 April ini.

Menurutnya, tiga buah hotel milik kerajaan negeri yang menawarkan diskaun hebat itu ialah Primula Beach Resort, Hotel Permai dan Duyong Marina Resort.

“Respons yang kita peroleh ramai dari negeri lain yang menyatakan untuk datang menyaksikan diskusi agama oleh tokoh agama terbilang itu yang diadakan di empat lokasi di negeri ini.

“Kerajaan negeri beri potongan harga bagi menyokong program ilmu dan agama ini agar lebih ramai rakyat dari segenap pelosok di negara ini berpeluang menyaksikan tokoh yang telah mengislamkan orang bukan Islam dalam siri diskusinya,” katanya.

Menurutnya, kunjungan pendakwah kelahiran Mumbai, India itu atas jemputan peribadi beliau dalam satu pertemuan yang tidak disengajakan di Korea sebelum ini.

Ahmad Razif berkata, beliau amat terharu kerana Dr Zakir tidak mengenakan sebarang bayaran termasuk kira-kira 50 krew yang dibawa khas oleh beliau termasuk tiket penerbangan.

“Ketika perbincangan untuk program itu saya bertanya berapakah bayaran yang dikenakan termasuk kerajaan negeri ingin membayar tiket kapal terbangnya tetapi beliau kata tidak perlu.

Saya amat kagum kerana ini lah lambang seorang pendakwah,” katanya. Lokasi ditetapkan penganjur pada malam pembukaan jelajah pada 10 April di Stadium Tertutup Gong Badak, pukul 8.30 malam.

Keesokan harinya iaitu 11 April (9.00 pagi) di Masjid Pusat Islam Sultan Mahmud, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk warga institusi pengajian tinggi diikuti di SM Imtiaz Besut pada jam 8.30 malam pada 12 April.

Lokasi terakhir adalah di Padang Astaka, Kemaman yang bermula jam 8.30 malam sementara orang ramai di seluruh negara khususnya dari negeri berdekatan dijemput mendengar ceramah isu semasa, diskusi agama sepanjang program tersebut.

Beliau lebih dikenali sebagai tokoh perbandingan agama di peringkat antarabangsa menerusi teknik pidato serta debatnya sangat mantap dan berkesan malahan setiap dakwahnya menggunakan dalil-dalil daripada al-Quran dan hadis yang sahih serta beberapa kitab-kitab agama lain seperti Bible, Veda, Bhagwad Geeta dan Upandishads.

Bukan sahaja dalam melontarkan pandangan, malah beliau juga mempunyai kebolehan mematahkan hujah pihak lawan dengan jawapan meyakinkan mengenai persoalan yang dikemukakan walaupun secara spontan.

Sumber : Sinar Harian

Klik di sini untuk ke catatan facebook Masjid Al-Islah, Limbongan.

Sabtu, 26 Mac 2016

Kabel TNB Besut terbakar

BESUT (25 Mac 2016) - Sejumlah kabel elektrik terpakai milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) Besut yang disimpan di tempat penyimpanan terbuka syarikat tersebut di sini musnah terbakar tengah hari tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bomba Besut, Mohd Zailani Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan lebih kurang pukul 12.32 tengahari.

Menurutnya, susulan itu pihaknya telah menghantar 10 anggota dan dua jentera bomba termasuk bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat Jerteh.

"Setibanya di tempat kejadian, anggota mendapati longgokan kabel elektrik terp
akai (skrap) milik TNB di tempat penyimpanan barangan skrap di kawasan lapang belakang pejabat TNB daerah itu (Kampung Raja) marak terbakar," katanya.

Mohd Zailani berkata, pihaknya berjaya mengawal dan memadam kebakaran tidak lama kemudian.

Katanya, kebakaran tersebut hanya membabitkan kabel berkenaan dan tidak melibatkan sebarang bangunan di situ serta tidak ada kecederaan dilaporkan.

"Punca kejadian masih dalam siasatan," katanya.

Sementara itu, Sinar Harian difahamkan, ada pihak tidak menolak bahawa kebakaran berpunca daripada cuaca terlalu panas, namun ia tidak dapat dipastikan memandangkan ia adalah tempat penyimpanan barang terpakai tidak berbumbung.

Sumber : Sinar Harian

Klik di sini untuk ke catatan facebook Masjid Al-Islah, Limbongan.

Isnin, 21 Mac 2016

Ditemui mati tergantung

JERTEH (21 Mac 2016) - Seorang anggota tentera berpangkat koperal ditemui mati tergantung di sebatang pokok di kawasan Hospital Besut di sini pagi ini.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Khaled Che Lah berkata, mayat mangsa ditemui oleh seorang kakitangan hospital tersebut kira-kira pukul 8.00 pagi tadi sebelum menghubungi polis.

Mangsa yang berusia 39 tahun bertugas di sebuah kem tentera di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan berada di kawasan hospital itu kerana menunggu bapanya yang sedang dirawat di sebuah wad hospital berkenaan.

Menurutnya, mangsa yang lengkap berpakaian ditemui tergantung dengan seutas dawai pada pokok mangga di belakang wad hospital berkenaan.

Khaled berkata, mangsa berasal dari Felda Selasih di sini dan punca kematian masih dalam siasatan polis.

Sumber : Sinar Harian

Klik di sini untuk ke catatan facebook Masjid Al-Islah, Limbongan.

Isnin, 28 September 2015

Johan Tilawah Al-Quran ke-57 meninggal dunia

Johan Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-57 dari Iran, Mohsen Hassani Kargar antara jemaah yang dilaporkan meninggal dunia dalam kejadian rempuhan di Mina pada hari Khamis yang lalu.

Pada bulan Jun baru-baru ini, Mohsen muncul sebagai qari ke-10 dari Iran menjuarai Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa yang diadakan di Kuala Lumpur.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas ruh beliau.

Klik di sini untuk ke catatan facebook Masjid Al-Islah, Limbongan.

Sabtu, 12 September 2015

Senarai nama jemaah haji yang cedera


Lembaga Tabung Haji (TH) dalam satu kenyataan media terkini telah mengeluarkan senarai nama jemaah haji Malaysia yang terlibat dan cedera dalam kejadian insiden runtuhan kren di Masjidil Haram, Mekah yang berlaku pada hari Jumaat 11 September 2015.

Masjid Al-Islah, Limbongan mendoakan agar semua yang terlibat dipermudahkan segala urusan dan diberikan kesembuhan.

Klik di sini untuk ke catatan facebook Masjid Al-Islah, Limbongan.

Selasa, 16 Jun 2015

Keputusan Tilawah Dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa 2015

Keputusan Tilawah Dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa 2015 :

Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-57 tahun 2015 telah berakhir dan keputusan pemenang Qari dan Qariah telah diumumkan.

Semua hadiah kepada pemenang telah disampaikan oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V diiringi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Berikut adalah Keputusan Juara Tilawah Dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa 2015 :-




KATEGORI QARI :-

Juara - Mohsen Hassani Kargar (Iran) : 91.75%

Naib Juara - Wan Ainuddin Hilmi Abdullah (Malaysia) : 91.38%

Ketiga - Numan Makasugat Pimbayabaya (Filipina) : 90.97%

Keempat - Awangku Muhd Adibul Amin Bin Pengeran Hj Marjuki (Brunei)

Kelima - Brahim Medjahed (Algeria)

KATEGORI QARIAH :-

Juara - Asrina Asril Buyong (Indonesia) : 91.55%

Naib Juara - Rahima Panondiongan Amerol (Filipina): 88.36%

Ketiga - Siti Husnaa Hassan (Malaysia) : 86.97%

Keempat - Siti Noor Dzuhairah Binti Awang Hj Damit (Brunei) 

Kelima - Sameeha Talohding (Thailand)

Malaysia muncul johan bagi kategori Hafazan bahagian wanita menerusi Farihah Zulkifli menewaskan peserta Mauritania, Raghiye Beyah yang menduduki tempat kedua dan peserta Tunisia, Mariem Makhlouf.

Keputusan Hafazan Lelaki

1. 97.63% - Qatar

2. 96.26% - Kuwait

3. 92.75% - Tunisia

Keputusan Hafazan Wanita

1. 89.50% - Malaysia : Farihah Zulkifli 

2. 89.38% - Mauritania

3. 88.25% - Tunisia.

Klik di sini untuk ke catatan facebook Masjid Al-Islah, Limbongan.

Ahad, 26 April 2015

Tahniah kepada johan Majlis Tilawah Al-Quran ke-58!

Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-58, yang berlangsung bermula tarikh 20 hingga 25 April 2015 menyaksikan Qari dari Kelantan dan Qariah dari Pahang muncul juara.

Johan Qari dari Kelantan adalah Wan Ainuddin Hilmi manakala Johan Qariah dari Pahang ialah Siti Husnaa Hassan. Johan keseluruhan dimenangi negeri Pahang dengan markah 85.51 peratus.

Keputusan kemenangan tersebut diumumkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapha.

Johan qari dan qariah menerima wang tunai RM30,000, sebuah Proton Preve, piala pusingan dan piala iringan serta pakej menunaikan fardu haji.

Naib johan menerima wang tunai RM20,000 manakala tempat ketiga RM15,000 selain sagu hati RM4,500 kepada setiap peserta. Johan qari dan qariah akan mewakili Malaysia ke tilawah peringkat antarabangsa dari 9 hingga 14 Jun di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali Ke-58 diadakan di Dewan Muktamar, Kompleks Pusat Islam Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Kuala Lumpur. 

Masjid Al-Islah, Limbongan mengucapkan tahniah kepada johan dan semua peserta.

Klik di sini untuk ke catatan facebook Masjid Al-Islah, Limbongan.

Selasa, 31 Mac 2015

Johan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu

Qari dari Marang, Mohamad Hafas Ali dan qariah dari Setiu, Nur Hidayah Abdul Rahman muncul sebagai johan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu di Stadium Mini Sungai Terom, Setiu pada 26 Mac 2015 yang lalu.

Masjid Limbongan mengucapkan tahniah kepada kedua-dua johan.

Semoga mereka dapat melakukan yang terbaik untuk peringkat seterusnya.

Klik di sini untuk ke catatan facebook Masjid Limbongan.

Khamis, 5 Mac 2015

Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Besut 2015

Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Besut telah diadakan di Kompleks Imtiaz Besut, Terengganu pada 3 Mac 2015.

Masjid Limbongan mengucapkan tahniah kepada johan qori, Haji Ibrahim bin Latif dan johan qari'ah, Hajjah Maziah binti Awang di atas kemenangan yang diraih.

Semoga kemenangan tersebut menjadi motivasi kepada generasi muda agar meningkatkan usaha untuk lebih menguasai Al-Quran.

Klik di sini untuk ke catatan facebook Masjid Limbongan.

Selasa, 3 Mac 2015

Besut melahirkan pelajar terbaik SPM 2014 di seluruh Terengganu

Menjadikan Al-Quran sebagai sumber inspirasi serta teras dalam menjalani kehidupan seharian memberi hikmah kepada Amananina Ayunni binti Ahmad Alawi, 18, dari Sekolah Menengah Imtiaz, Besut apabila muncul sebagai pelajar paling cemerlang bagi sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014 di seluruh Terengganu.

Amanina yang bergelar hafizah sejak Tingkatan Dua sentiasa konsisten mentelaah pelajaran, selain mengamalkan bacaan Al-Quran dan solat hajat, berjaya merekodkan keputusan 11A+ bagi semua subjek yang didudukinya.

Masjid Limbongan mengucapkan tahniah kepada Amanina di atas kecemerlangan yang telah dicapai.

Sumber : www.teganukita.my

Klik di sini untuk ke catatan facebook Masjid Limbongan.

Jumaat, 13 Februari 2015

Perginya seorang tokoh ulamak negara

Bekas Menteri Besar Kelantan dan seorang tokoh ulamak negara yang disegani, Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat telah kembali ke rahmatullah pada pukul 9.45 malam tadi.

Semoga ruh beliau dicucuri rahmat oleh Allah.

Klik di sini untuk ke catatan facebook Masjid Limbongan.

Isnin, 22 September 2014

Pengurus Besar PMINT meninggal dunia

Kuala Terengganu : Pengurus Besar Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Datuk Wan Zahari bin Wan Ngah yang baru menghadiri majlis persaraannya bersama kakitangan syarikat itu, meninggal dunia akibat sesak nafas, kira-kira jam 5 petang semalam.

Allahyarham yang berusia 60 tahun meninggal dunia di kediamannya di Taman KP Perdana, Kubang Parit.

Isterinya Ramlah Yahaya, 56, berkata, Allahyarham yang baru tiga bulan memegang jawatan sebagai Pengurus Besar PMINT dipercayai meninggal dunia akibat penyakit lelah yang sudah lama dihidapinya.

"Arwah tiba di rumah pada pukul 2.00 petang dan sempat bermain dengan cucu. Pada pukul 4.30 petang, dia mengadu sesak nafas dan meminta saya memanggil ambulan tetapi belum sempat tiba, dia menghembuskan nafas terakhir," katanya ketika ditemui di rumahnya, lewat petang semalam.

Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kubang Parit berhampiran kediamannya dekat sini pada pukul 10.00 pagi ini.

Sumber : http://www.hmetro.com.my

Klik di sini untuk ke catatan facebook Masjid Limbongan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...