Selasa, 3 Mei 2016

Penuntut kolej swasta maut

BESUT (30 April 2016) - Seorang penuntut sebuah kolej swasta di Kota Bharu, Kelantan maut sementara tunangnya parah selepas kereta dinaiki mereka tertembung dengan sebuah lori di Kampung Batang Gergaji dekat Jabi di sini pagi semalam.

Dalam kejadian kira- kira jam 7 pagi itu, mangsa Yusaini Ashfaq Yusof, 25, dari Kampung Bakong, Pasir Mas, Kelantan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, penumpang kereta Proton Satria itu yang juga pelajar kolej sama, Wan Farah Farhana Wan Ariffin, 20, dari Lorong Pak Nik Mat, Pasir Mas, Kelantan mengalami kecederaan parah di kepala.

Menurutnya, manakala pemandu lori jenis Isuzu yang membawa muatan ayam itu tidak mengalami kecederaan sementara kelindan mengalami luka-luka kecil.

“Maklumat awal daripada pemandu lori memberitahu kejadian berlaku apabila sampai di tempat kejadian, dia yang dari arah Kota Bharu ke Kuala Terengganu melihat kereta Proton Satria dipandu mangsa dari arah Kuala Terengganu menghala ke arah Kota Bharu hilang kawalan lalu memasuki laluannya (bertentangan).

“Pemandu lori itu telah mengelak ke sebelah kiri bahu jalan tetapi kereta Satria itu masih lagi berada di laluan lori lalu kereta itu melanggar lori tersebut di bahagian depan,” katanya.

Mohd Zamri berkata, pemandu yang tersepit dalam kenderaan berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba dan penyelamat dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, semua mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Besut sementara mayat Yusaini Ashfaq dihantar untuk bedah siasat di hospital yang sama.

Mohd Zamri berkata lagi, hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

“Polis tidak menolak kemungkinan kemalangan berlaku berpunca kerana pemandu Satria itu dalam keadaan mengantuk kerana dikatakan dia bersama tunangnya bertolak pada jam 2 pagi semalam dari Kuantan, Pahang dan dalam perjalanan ke Kota Bharu,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut akan dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, kes disiasat oleh Inspektor Muhammad Wafi Azrul Suati.

Sumber : Sinar Harian

Klik di sini untuk ke catatan facebook Masjid Al-Islah, Limbongan.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...