Alhamdulillah, proses pemasangan kamera litar tertutup (CCTV [closed-circuit television]) di Masjid Limbongan telah pun bermula beberapa hari sebelum sambutan Aidil Adha.
Sebanyak lapan unit kamera telah diletakkan di lokasi-lokasi strategik di dalam dan luar kawasan masjid. Proses penyambungan kabelnya pula belum siap sepenuhnya.
Sebagaimana diketahui umum, Masjid Limbongan pernah tergempar dengan kes pencerobohan Al-Quran yang berselerakan dan bertaburan di sekitar kawasan masjid lebih kurang 7 bulan yang lalu iaitu pada tarikh 4 Mac 2014. Kes ini mendapat perhatian semua pihak dan dibuat liputan yang meluas. [Klik di sini untuk melihat laporan mengenainya]
Dengan pemasangan CCTV ini juga, kita berharap agar kejadian-kejadian yang tidak diingini seperti kecurian wang dari tabung masjid, kecurian motosikal dan sebagainya dapat dikurangkan, seterusnya dapat diatasi sepenuhnya.
Tidak dinafikan bahawa usaha pencegahan bukan hanya dengan pemasangan CCTV semata-mata, tetapi perlu diselarikan dengan tarbiah dan suntikan ilmu serta contoh akhlak yang baik terutamanya untuk golongan remaja dan belia.
InsyaAllah pemasangan CCTV dijangka akan siap sepenuhnya dalam tempoh yang terdekat.
Klik di sini untuk melihat lebih banyak gambar mengenai catatan ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan