Isnin, 20 Oktober 2014

Sekitar bengkel KOSPEN

Haji Che Rawi membantu Encik Anuar membuat
pemeriksaan tekanan darah Imam Tengku Azlan
Alhamdulillah, dua hari yang lalu, 18 Oktober 2014, selepas solat fardhu Isyak, bengkel Komuniti Sihat Perkasa Negara (KOSPEN) telah diadakan di bilik mesyuarat Masjid Limbongan.

Bengkel ini dianjurkan oleh Klinik Kesihatan Kampung Raja (di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia) dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Limbongan, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Limbongan dan Masjid Limbongan.

Bengkel pengenalan ini telah dikendalikan oleh Haji Che Rawi bin Adam, seorang kakitangan di Pejabat Kesihatan Daerah Besut yang juga adalah bendahari Masjid Limbongan.

Pendedahan yang diberikan pada malam tersebut ialah pengiraan Klasifikasi Berat Badan Unggul (BMI), pemeriksaan tekanan darah/hypertensi dan pemeriksaan paras gula dalam darah. Peserta-peserta diajar secara teori dan amali.

KOSPEN bertujuan melatih sukarelawan-sukarelawan untuk membuat pemeriksaan asas kesihatan masyarakat setempat dengan menyediakan lokasi yang mesra komuniti seperti masjid sebelum mereka dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan lanjut di klinik atau hospital berhampiran. Pemeriksaaan tersebut akan diadakan secara berkala sepanjang masa.

KOSPEN juga akan mengatur kehadiran doktor ke masjid untuk membantu menyelesaikan masalah kesihatan masyarakat setempat.

Masjid Limbongan telah mengorak langkah dalam satu bidang yang baru iaitu bidang kesihatan. Ini membuktikan bahawa institusi masjid sememangnya mampu menjadi pusat segala aktiviti masyarakat, sesuai dengan slogan Masjid Limbongan; 'Bukan Sekadar Tempat Solat'.

Klik di sini untuk melihat lebih banyak gambar berkaitan bengkel ini.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...